Dapatkan Semua Maklumat Pelancungan Kelantan Disini

Dapatkan Semua Maklumat Pelancungan Kelantan Disini
Cintalah Malaysia Love Malaysia

Saturday, April 24, 2010

Jelajah Retrosuperbike Di Kelantan - Kelantan Bike Week 2010

Jelajah Retrosuperbike di Kelantan

Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar ihsan SAIFUL NIZAM

Petikan Berita dari: Utusan Malaysia Online 24 April 2010


MAznah zolkfli bersama-sama ahli kelab sempat bergambar melakarkan kenangan.

PENGALAMAN menunggang motosikal berkuasa tinggi sudah pasti meninggalkan seribu kenangan buat penulis.

Jika sebelum ini penulis hanya menunggang motosikal kapcai tetapi baru-baru ini berpeluang mengikuti Duta Belia Negara, Maznah Zolkifli, konvoi beramai-ramai bersama ahli-ahli Kelab Retrosuperbike merupakan satu pengalaman yang amat berharga.

Perjalanan melebihi 400 kilometer (km) dari Kuala Lumpur ke Kelantan merupakan satu perjalanan yang sukar dinyatakan.

Bayangkan sekiranya penulis menaiki pacuan empat roda Mitsubishi Trixton, kelajuannya boleh mencecah sehingga 140 km/j inikan pula motosikal yang berkuasa tinggi.

Sepanjang dua hari bersama mereka, sedikit sebanyak penulis dapat mengenali ahli-ahli kelab tersebut dan rata-ratanya tidak lokek berkongsi maklumat yang mereka ada.

Untuk pengetahuan bersama, kelab tersebut yang ditubuhkan pada tahun 2002 kini diterajui oleh Maznah atau lebih mesra dengan panggilan Mazz.

Secara tidak langsung, Mazz telah mencipta sejarah buat kelab motosikal di Malaysia kerana beliau merupakan satu-satunya presiden wanita untuk kelab motosikal yang terdapat di negara ini.

Berbalik kepada cerita konvoi beramai-ramai ke Kelantan, menurut Mazz, konvoi tersebut adalah bersempena 'Kelantan Bike Week (KBW) 2010' yang berlangsung baru-baru ini.

Perhimpunan tersebut yang merupakan perhimpunan kali keempat telah menempa nama tersendiri di dalam sejarah permotoran apabila berjaya mengumpul sebanyak 1,300 motosikal berkuasa tinggi.

Perhimpunan itu turut menyaksikan penyertaan kelab-kelab motosikal dari serata tanah air termasuk juga dari luar negara seperti Brunei, Thailand, Singapura dan Argentina.

Selain pameran motosikal dan gerai-gerai jualan, acara sampingan seperti aksi persembahan burn-out menggunakan motosikal KTM Duke serta konvoi kenderaan vintaj seperti Volkswagen Beetle dan Combi turut menghangatkan suasana.

Acara yang diadakan dengan usaha sama kerajaan negeri itu telah dirasmikan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Bagi penulis, apa yang membanggakan ialah, baik sepanjang perjalanan pergi dan balik, Mazz serta ahli-ahli kelab yang lain amat menitikberatkan soal keselamatan.

Walaupun kelajuan motosikal yang ditunggang ada kalanya mencecah sehingga 200 km/j, namun kesemua ahli yang menyertai konvoi tersebut dilihat mampu memberi bekerjasama antara satu sama lain.

Konvoi tersebut yang diketuai oleh Mazz dan dibantu oleh Sarjan Tajudin Mahadi atau lebih dikenali sebagai Dino yang bertindak sebagai Ketua Keselamatan dan Disiplin seharusnya diberi pujian.

Ini kerana, walaupun perjalanan tersebut mengambil masa selama enam jam, ia sedikit pun tidak memberi kesan dan tekanan malah ahli-ahlinya dilihat seolah-olah 'bersantai' ketika menunggang.

Bagi Kelab Retrosuperbike sendiri, konvoi tersebut bukan kali pertama dianjurkan, malah kelab tersebut yang mempunyai keahlian seramai 150 termasuk ahli-ahli dari Singapura merupakan satu kelab motosikal berkuasa tinggi yang semakin aktif dari semasa ke semasa.

Jelas Mazz, kelab tersebut kini aktif menganjurkan 'charity ride' dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sosial dengan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.

''Kelab ini mula aktif dalam hal-hal kebajikan sejak tahun 2007 dan yang pasti selepas ini kami akan mengadakan lebih banyak lagi 'charity ride'.

''Pada 15 Mei ini, kami akan menganjurkan 'charity ride' sehari ke Muar untuk membantu dua beradik yang kurang upaya sebagai usaha meringankan beban yang ditanggung.

''Dalam pada itu, lagi satu keistimewaan dan keunikan yang terdapat di dalam kelab ini ialah selain ahli-ahlinya warga Malaysia, ia juga mempunyai cawangan di Singapura.

''Kami semua diibaratkan sebagai satu keluarga serta ahli-ahlinya juga bersatu padu dalam apa jua keadaan, malah kami pastinya memahami di antara satu sama lain dan sekiranya ada masalah, kami akan sama-sama hadapinya,'' ujarnya.

Bagi anak jati Johor Bahru ini, setelah 18 tahun terlibat di dalam sukan pemotoran, pelbagai cabaran telah ditempuhinya.

Sebelum ini Mazz juga pernah menaikkan nama kelab motor yang lain termasuk menjadi penasihat kepada Unique Nation Riders dan mencipta logo kelab itu sendiri.

Bukan itu saja, malah beliau juga pernah mengikuti Konvoi Merdeka Jalur Gemilang 52 tahun selama 12 hari sekali gus menjadi kenangan manis dan kebanggaannya sebagai 'big biker'.

Menjadi harapan Mazz agar kelab yang diterajuinya kini akan terus kekal dan menjadi satu-satunya kelab motosikal berkuasa tinggi yang sentiasa aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai kelab ini boleh layari retrosuperbike.org.

Apa-apa pun, penulis ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat semua ahli kelab Retrosuperbike yang mengikuti konvoi ke Kelantan di atas kerjasama yang diberikan terutama sekali kepada Tok Wan.

Retro memang Stylo!